Monday 18 August 2014

Siapa dia Tun Haji Abdul Razak


Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Haji Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua
yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) (1971) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".

Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang serta merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau juga merupakan keturunan bangsawan yang selama ini menjadi ketua-ketua bagi suku kaum di Pahang. 

Sejak dari sekolah rendah lagi, beliau telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, beliau bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.

Selepas peperangan, beliau pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK), dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden kesatuan itu. Di samping itu, beliau juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut di Malaya. Pada tahun 1950, beliau menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.


No comments:

Post a Comment